~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Oleh ZAMRI RAMBLI
zamri.rambli@kosmo.com.my
Inovasi paling mengkagumkan abad ini, Instead Softcup memberikan wanita erti kebebasan sebenar ketika haid.
INSTEAD Softcup adalah generasi baru produk perlindungan wanita semasa menstrual.
MEMANG terasa sangat janggal. Berbicara tentang barang keperluan wanita dengan hampir majoriti penulis kesihatan yang datang pada majlis itu adalah wanita. Tetapi apabila satu demi satu keunikan, kebaikan dan yang lebih penting kebebasan dalam erti kata sebenar untuk wanita ketika haid, maka rasa janggal itu bertukar kepada ingin tahu.
Ia diuar-uar lebih baik, lebih bersih dan lebih hebat daripada tampon dan tuala wanita. Instead Softcup merupakan generasi terbaru produk perlindungan ketika haid.
Tatkala rupa Instead Softcup dipertontonkan kepada hadirin semasa pelancaran produk terbaru daripada Innovative Healthcare Product Sdn. Bhd. bukan sedikit wajah yang yang menunjukkan rasa terkejut atau mungkin juga gerun.
Cuba memahami situasi itu, Instead Softcup yang diedarkan di kalangan wartawan dipegang dan diamati dari dekat. Leher alat seperti mangkuk ini memang agak keras. "Bagaimana ia digunakan? Tidak sakitkah ketika mengenakan alat ini? Tidakkah wanita muda akan kehilangan dara apabila alat ini dimasukkan melalui faraj?" itu antara persoalan yang terlintas.
Tiga panel dijemput untuk berkongsi pengetahuan tentang inovasi produk itu terdiri daripada Setiausaha Kehormat Persatuan Kesihatan Seksual Sedunia, Dr. Beverly Whipple, Konsultan Obstetrik dan Ginekologi Institut Jantung Negara (IJN), Dr. Abdul Aziz dan pelakon antarabangsa merangkap penari, model serta pelukis, Angela Shelton.
Sebelum semua persoalan tersebut dijawab, Whipple menjelaskan mengapa Instead Softcup lebih selamat.
"Instead Softcup telah terjual sebanyak 100 juta unit sejak diperkenalkan di Amerika Syarikat (AS) sejak sedekad lalu. Penyerapan tuala wanita dan tampon yang tinggi tidak semestinya lebih baik untuk wanita."
"Tuala wanita diperbuat daripada kapas atau rayon. Ia mempunyai dioksin yang dipercayai menjadi punca kepada penyakit tertentu. Sementara tampon pula yang diletakkan dalam faraj dan menyerap haid berisiko untuk menyebabkan masalah kesihatan seperti simdrom kejutan tosik," ujar Whipple yang juga Prof. Emeritus di Rutgers University , AS.
Instead Softcup diperbuat daripada bahan dipanggil polietilen dan minyak mineral bebas lateks tanpa alahan, bebas toksid, keradangan dan mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS.
"Kajian makmal menunjukkan Instead Softcup tidak merangsang pertumbuhan bakteria yang berkaitan dengan sindrom kejutan tosik kerana ia direka untuk digunakan pada bahagian dalaman tanpa serat dan tidak menyerap," kata Whipple. Beliau yang berpengalaman lebih 22 tahun dan puluhan hasil penulisan, tidak mencadangkan produk itu tanpa kajian dan bukti kukuh.
Malah, katanya, dengan Instead Softcup wanita akan mengecapi erti kebebasan sebenar semasa haid. "Pernahkah anda terfikir untuk berenang, mendaki atau berbasikal lasak semasa haid. Dengan Instead Softcup ia adalah realiti," katanya.
Shelton yang menjadi pengguna setia Instead Softcup sejak lapan tahun lalu sempat mencelah, "Sebagai wanita aktif saya mengembara ke seluruh dunia dan melakukan pelbagai aktiviti. Saya beralih kepada Instead Softcup selepas seorang rakan saya diserang sindrom kejutan tosik.
"Apa yang menarik generasi baru perlindungan menstrual wanita ini menawarkan lebih daripada kebersihan dan keselamatan. Bayangkan saya boleh berenang ketika haid. Yang pasti, dengan Instead Softcup anda tidak akan pernah kebocoran."
Teruja dengan perhatian penonton termasuk pengacara majlis itu, bekas ratu cantik Malaysia, Lina Teoh, Whiplle bangun untuk menunjukkan cara penggunaan Instead Softcup menerusi anatomi demonstrasi.
"Sebelum menggunakan Instead Softcup, basuh tangan terlebih dahulu. Adalah lebih baik untuk anda berada pada posisi mencangkung atau duduk (di tandas contohnya) dengan lutut menghala ke depan.
"Pada posisi ini, saluran faraj anda dalam keadaan melintang. Untuk memasukkan alat ini, pegang ia secara teliti agar bahagian bekas takungan darah haid menghala ke bawah. Kemudian picit leher gelang Instead Softcup sehingga rapat," ujarnya sambil melakukan demonstrasi.
Seterusnya ujar Whipple perlahan-lahan tolak mangkuk itu menerusi saluran faraj. Ia akan berada dalam keadaan rehat secara natural pada bahagian betul-betul di bawah serviks di belakang tulang pubik.
Tambah Whiplle, jangan tolak mangkuk Instead Softcup ke atas (biar ia dalam keadaan mendatar) kerana ia akan berhenti sebagai berada di depan serviks.
Akui Shelton, sama seperti kebanyakan wanita beliau juga agak takut untuk menggunakan Instead Softcup pada awalnya. "Sesiapa pun mungkin akan rasa ragu-ragu. Sebenarnya anda hanya perlu rileks dan ikut arahan. Kemudian anda akan tidak terasa seperti ada sesuatu pada bahagian itu. Yang pasti, saya tidak akan kembali lagi kepada tampon," ujar wanita itu yang juga pernah menjadi pengarah filem.
Dalam pada itu, Abdul Aziz memberitahu, dengan adanya Instead Softcup di Malaysia, wanita negara ini mempunyai pilihan untuk produk yang membolehkan mereka meneruskan aktiviti harian tanpa sebarang gangguan semasa haid.
Instead Softcup dicadangkan pemakaiannya untuk 12 jam. Selepas tempoh itu, gunakan jari dengan perlahan-lahan tarik gelang mangkuk alat itu sebelum dibuang.
Inovasi terbaru untuk wanita ini akan dipasarkan di farmasi dan kedai serbaneka pada harga RM19.90 sekotak yang mempunyai lima keping mangkuk Instead Softcup.
2 comments:
sy smp bile2 xkn berani try.. heheeee
huhuh..bace pun dh rasa pelik..
ntah camne la nk pakai mende tuh.
Post a Comment